BANGI : Kursus pemulihan kepada pemegang Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) yang digantung akibat kesalahan jalan raya akan dilaksanakan bermula November depan.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kursus itu dilaksanakan bertujuan memberi peluang kepada pemandu terlibat mengikuti kursus pemulihan sebelum kelayakan lesen mereka dipertimbangkan semula.
“Mereka wajib untuk menghadiri kursus pemulihan sebelum lesen tersebut diberikan semula, perkara ini akan dilaksanakan dan ia dalam peringkat perincian.
“Kami sedang meneliti beberapa perkara lagi bersama dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk kita laksanakan program ini, mungkin akan dimulakan secara rintis terlebih dahulu mulai November tahun ini,” katanya selepas sesi libat urus bersama Persatuan Pengusaha Lori dan Pengusaha Bas Ekspres dan Pelancongan berkaitan inisiatif keselamatan jalan raya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, ujar Aedy, pihaknya melihat pentingnya latihan lanjutan dan juga kursus pemulihan ini untuk mengingatkan semula pemandu dengan peraturan jalan raya.
Beliau berkata, buat masa ini, pelaksanaan kursus pemulihan dilaksana kepada pemegang lesen PSV dan GDL sebelum dipanjangkan kepada pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM).
Tambah beliau, objektif utama kursus pemulihan itu adalah untuk meningkatkan keselamatan jalan raya selain memperkukuh tahap profesionalisme dalam kalangan pemandu kenderaan perkhidmatan awam dan barangan.
Katanya, JPJ juga sudah memulakan pembatalan lesen vokasional.
“Mana-mana pemandu barangan atau bas yang terlibat kemalangan serius akan digantung lesen, tetapi seperti diumum oleh Menteri Pengangkutan, ia ada kategori.
“Bukan JPJ terus gantung (lesen) serta-merta lesen. Notis tunjuk sebab akan dikeluarkan dahulu dan penilaian akan dibuat sama ada perlu gantung atau tidak. Pengarah JPJ negeri diberi kuasa untuk keputusan ini,” ujarnya.
Katanya lagi, lesen yang digantung membabitkan PSV dan GDL sahaja tidak melibatkan lesen motosikal serta kereta bagi pemandu terbabit.
“Sehingga sekarang ada lima pemandu digantung lesen PSV. Ia bukan berterusan, bukan selamanya digantung dan ada perincian serta tempohnya,” katanya. – UTUSAN









