Johor cadang RTS2 hubungkan Iskandar Puteri-Tuas

Johor cadang RTS2 hubungkan Iskandar Puteri-Tuas

ONN Hafiz Ghazi mengadakan pertemuan dengan Lawrence Wong di The Istana, Singapura bagi membincangkan kerjasama dua hala antara Johor dan republik itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri mencadangkan pembinaan sistem pengangkutan baharu dikenali sebagai Rapid Transit System 2 (RTS2) yang akan menghubungkan Iskandar Puteri di Johor dan Tuas, Singapura dalam usaha memperkukuh jaringan mobiliti dua hala.

Cadangan strategik itu disampaikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kepada Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dalam pertemuan rasmi selama sejam di The Istana, Singapura hari ini.

“Cadangan ini telah diperkenankan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan merupakan antara langkah penting menjunjung titah baginda agar hubungan Johor-Singapura dipertingkat ke tahap lebih strategik dan holistik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Cadangan RTS2 itu bakal melengkapi infrastruktur sedia ada termasuk projek RTS Link dari Bukit Chagar ke Woodlands North yang kini dalam pembinaan, serta menyokong pertumbuhan ekonomi rentas sempadan.

Selain itu, perbincangan turut menyentuh kemajuan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) termasuk penubuhan Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) sebagai pemudah cara utama pelaburan.

“Hingga kini, Johor telah menerima lebih 577 pertanyaan pelaburan berkaitan JS-SEZ, dengan 70 daripadanya menunjukkan minat serius dan 11 syarikat dirujuk terus oleh agensi pelaburan Singapura,” katanya.

Onn Hafiz berkata, Perdana Menteri Singapura turut menyambut baik usaha Johor dalam menjamin pasaran buruh yang kompetitif serta bersetuju meneliti setiap cadangan secara terbuka dan konstruktif.

“Perbincangan ini amat positif dan saya yakin ia membuka lembaran baharu hubungan dua hala yang lebih erat, khususnya dalam sektor tenaga, logistik serantau dan pembangunan bersama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN