JOHOR BAHRU: Jiran kepada bapa yang disyaki membunuh anak lelakinya mendakwa sering kali terdengar tangisan mangsa selain pasangan suami isteri itu bertengkar di rumah mereka di Bandar Seri Alam, Masai, Pasir Gudang.
Menurut Kamarudin Abdullah, 47, yang sudah setahun hidup berjiran dengan keluarga tersebut, pasangan itu tidak tinggal bersama di kediaman berkenaan lebih sebulan namun mereka hanya mengunjungi rumah itu sesekali secara berasingan.
“Mangsa hanya kelihatan normal dan sebelum ini saya pernah berbual dengan pasangan itu, namun mereka kurang bercampur dengan jiran. Rumah ini dipercayai milik keluarga wanita itu dan sebelum ini dihuni adik-beradik wanita berkenaan,” katanya ketika ditemui semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia di kediaman mangsa mendapati rumah tersebut berada dalam keadaan berkunci dan ahli keluarga mangsa difahamkan berada di Negeri Sembilan bagi tujuan pengecaman mayat mangsa.
Kelmarin, polis menemukan mayat kanak-kanak berusia enam tahun dikenali sebagai M. Tishant yang dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri sejak 24 Julai lalu ditanam di Jempol, Negeri Sembilan kira-kira pukul 4.30 petang susulan penahanan bapa mangsa berumur 36 tahun.
Polis juga menemukan sebatang cangkul yang dipercayai digunakan suspek untuk menggali lubang sebelum menanam mayat kanak-kanak lelaki itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditemukan di Jempol semalam mendapati punca kematiannya adalah disebabkan tekanan di leher akibar dijerut.
“Tekanan di leher boleh menyebabkan kematian. Setakat ini, kes ini disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Pakar patologis menganggarkan mangsa meninggal dunia pada 23 Julai di antara pukul 9 pagi hingga 11 pagi. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, mayat kanak-kanak malang berkenaan dibawa ke Johor dari Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau kira-kira pukul 4.26 petang selepas proses bedah dijalankan pasukan forensik semalam.










