Jika gagal nangis, saya akan kecam diri sendiri - Puteri Balqis - Utusan Malaysia

Jika gagal nangis, saya akan kecam diri sendiri – Puteri Balqis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan drama bersiri Keluarga Itu, pelakon, Puteri Balqis mengakui tidak mudah untuk dirinya menjayakan watak berat dalam setiap naskhah yang dibintanginya.

Menurut Balqis, jangkaan penonton membuatkan dirinya lebih tertekan untuk menjayakan watak yang sama untuk tawaran akan datang.

“Mungkin orang fikir saya sudah terbiasa bawakan genre sedih, tetapi perkara itu adalah satu tekanan untuk saya.

“Orang sudah meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap saya jadi saya kena buat yang terbaik. Jika ada hari yang saya sukar untuk menangis, saya akan kecam diri sendiri.

“Ini kerana saya adalah ‘mozek’ kepada setiap karakter yang saya jayakan. Tipulah kalau saya kata tidak penat bawakan watak berat. Tapi kalau tiada babak itu bosan pula,”

Syukur dirinya kini sudah berada di tahap yang tersendiri, Balqis juga memaklumkan tidak mudah untuk dirinya menepis segala dugaan yang menghimpit dirinya sepanjang bergelar anak seni.

Katanya, kini kehidupannya hanya berpaksikan pada apa yang dirinya suka meskipun tidak senang dengan realiti sebenar yang perlu dilalui dalam industri seni.

“Saya bangga digelar anak seni, tetapi saya tidak bangga dengan industri. Ia buat saya benci apa yang saya sayangi.

“Sekarang saya lebih kepada abaikan orang dan terus lakukan apa yang saya suka,” jelasnya ketika ditemui di majlis Wawa Global Kosmetik New Chapter, baru-baru ini.

Ditanya sama ada dirinya akan terus berlakon, pelakon yang berusia 18 tahun itu mendedahkan dirinya kini sudah terjun ke dalam dunia penulisan sebagai persediaan awal sekiranya dirinya tidak lagi relevan.

“Akan ada satu hari orang akan lupakan saya. Sebab itu juga saya perlahan-lahan tulis puisi supaya nama saya ini akan diingati melalui penulisan saya.

“Sekarang semuanya masih dalam proses lagi. Saya tidak mempunyai tarikh yang tepat, tetapi saya rancang untuk keluarkan buku puisi itu pada tahun ini,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN