GEORGE TOWN : Nilai kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian atau ‘scam’ di Pulau Pinang sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini direkodkan melebihi RM112 juta.
Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, jumlah itu meningkat sebanyak RM42.9 juta berbanding RM70.1 juta yang dicatatkan untuk tempoh yang sama tahun lepas.
“Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini pula, polis Pulau Pinang telah melaksanakan sebanyak lapan serbuan ke atas sindiket pusat panggilan (call centre) dan berjaya menahan seramai 75 individu yang terdiri daripada 51 lelaki dan 24 wanita.
“Daripada jumlah itu pula, 39 daripada mereka adalah warga tempatan manakala selebihnya merupakan warga asing,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Alwi berkata, polis sedang mengenal pasti sindiket ah long yang mengupah dua lelaki yang telah ditahan polis bagi membantu siasatan kebakaran tiga rumah teres di Tasek Gelugor, pada 24 Jun lepas.
Katanya, dua lelaki tersebut dipercayai bekerja dengan satu sindiket ah long yang bertindak mengupah mereka untuk melakukan jenayah berkenaan.
“Kami sedang berusaha untuk mengenal pasti dan mengesan individu atau ‘ah long’ yang mengupah kedua-dua suspek tersebut,” katanya yang memberitahu, siasatan awal mendapati, peminjam adalah antara mangsa kebakaran berkenaan.
Ditanya mengenai perkembangan kes dua suspek melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta pacuan empat roda dalam satu kejadian di hadapan sebuah sekolah rendah di Sungai Nyior awal bulan ini pula, Mohd. Alwi berkata, siasatan kes itu masih berjalan ketika ini.
“Kita telah tubuhkan satu pasukan khas dan mereka sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk sedang mendapatkan beberapa maklumat berkaitan bagi membantu siasatan,” katanya.-UTUSAN