KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya dengan sebarang penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa kononnya pendaftaran diperlukan untuk menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 seperti diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bantuan tunai berkenaan akan diberikan secara automatik kepada semua rakyat dewasa yang layak, tanpa sebarang keperluan untuk mendaftar atau memohon.
“Tiada pendaftaran atau permohonan perlu dibuat kerana kelayakan untuk menerima SARA ditentukan secara automatik berdasarkan data warganegara dewasa yang memiliki MyKad.
“Data daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan digunakan bagi tujuan pelaksanaan ini,” katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai proses pendaftaran dan bagaimana untuk melayakkan diri bagi menerima serta berbelanja RM100 di bawah inisiatif SARA.
Amir Hamzah berkata, bantuan tunai RM100 secara sekali bayar (one-off) itu merupakan kali pertama diberikan kepada seluruh warganegara dewasa, melibatkan seramai 22 juta penerima yang layak.
Katanya, kredit SARA RM100 boleh digunakan di lebih 4,500 premis runcit berdaftar dengan jumlah premis dijangka bertambah dari semasa ke semasa.
“Ia melibatkan lebih 90,000 barangan keperluan harian dalam 14 kategori termasuk makanan asas seperti beras dan telur, produk kebersihan rumah, ubat-ubatan, keperluan sekolah dan kebersihan diri.
“Antara premis yang berdaftar termasuk Giant, MYDIN, BATARAS, C-Mart dan TF Value-Mart,” katanya.
Beliau berkata, mana-mana premis yang berminat untuk menjadi Rakan Niaga SARA boleh mengemukakan permohonan kepada Yayasan MyKasih untuk proses pendaftaran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu mengumumkan pemberian SARA RM100 secara one-off melalui MyKad kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas, sebagai ikhtiar segera kerajaan bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat. – UTUSAN










