BAGAN DATUK: Seorang suri rumah kerugian RM18,408 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan membungkus barang dari rumah yang diiklankan menerusi Facebook.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd. Jali berkata, penipuan berkenaan bermula selepas mangsa berusia 23 melihat tawaran iklan bekerja dari rumah pada 30 September lalu.
Katanya, mangsa kemudian menghubungi nombor telefon yang tertera pada iklan berkenaan sebelum diarahkan berurusan menerusi aplikasi Telegram.
“Mangsa diminta mengisi borang mengandungi maklumat peribadi sebelum ditawarkan tugasan membungkus barang setiap hari.
“Mangsa diminta membuat tempahan bagi kerja membungkus barang dan menghantarnya selepas barangan berkenaan diterima di alamat rumahnya,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa juga diarahkan membuat bayaran pendahuluan bagi setiap borang atau tugasan yang dilakukan terlebih dahulu sebelum kononnya menerima komisen.
Katanya, mangsa yang terpedaya kemudian melakukan 12 transaksi wang ke beberapa akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM18,408.
“Mangsa menyedari ditipu selepas diarahkan membuat beberapa pembayaran, namun tidak menerima sebarang komisen seperti dijanjikan.
“Siasatan turut mendapati akaun bank yang digunakan untuk menerima wang mangsa adalah akaun keldai, manakala akaun Facebook palsu berkenaan dipercayai diwujudkan bagi tujuan sindiket penipuan wang,” katanya.
Tambah beliau, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana menipu atau memperdayakan secara tidak jujur sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang. – UTUSAN











