PETALING JAYA: Semua pihak diingatkan agar tidak meremehkan pemberian kerajaan RM100 secara one-off di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) seperti diumumkan dalam Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia, semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian itu bukan satu jumlah yang kecil, meskipun ada pihak memandang ringan bantuan RM100 dengan alasan tidak mencukupi untuk menampung keperluan.
“Dengar beberapa Ahli Parlimen pembangkang kata RM100 sahaja. Dia (pembangkang) tak baca. Bila saya sebut rabun mata, dia marah.
“Tak apalah singgung, dunia politik itu tak apalah. Mereka kata RM100 sahaja. Bagi kamu RM100 tidak ada apa-apa sebab kamu gaji RM20,000 sebulan, RM40,000 sebulan. Tapi saya tahu kalau kita pergi ke kampung, ada.
“Jangan remehkan RM100 sahaja. Ini tambahan daripada RM13 bilion jadi RM15 bilion untuk tahun ini bagi STR (Sumbangan Tunai Rahmah) dan SARA.
“Kemudian macam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA). Jadi ini semua tambahan daripada (kerajaan) yang telah dilaksanakan,” katanya dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.
Menurut Anwar, pemberian itu menyaksikan jumlah bantuan kepada rakyat meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion.
Beliau kemudian mengambil contoh bahawa penerima yang sudah mendapat bantuan akan menerima tambahan sekiranya mempunyai anak berusia 18 tahun ke atas sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan bertambah.
Selain itu, Anwar berkata, walaupun harga minyak dunia sudah naik, namun kerajaan tetap menurunkan harga minyak negara ini.
Katanya, harga minyak untuk orang asing akan mengikut harga pasaran sebenar selepas dilaksanakan kelak.
“Itu yang kita akan tetapkan kemudian. Ada juga yang Ketua Parti Pembangkang sebut pasal apa nak bebankan mereka. Saya rasa aneh.
“Bukan kita dera mereka. Bukan kita rampas hak dia. Ini subsidi (rakyat),” katanya. – UTUSAN










