PETALING JAYA: Penyanyi, Shila Amzah memohon agar orang ramai tidak mengaitkan rakan baiknya, Nabila Huda dengan insiden dirinya diherdik oleh bapa aktres itu, Datuk Amy Search tempoh hari lalu.
Menurut Shila, dia enggan mengeruhkan situasi yang berlaku selepas mengesahkan identiti penyanyi rock lagenda yang menyerangnya dalam sebuah kenyataan semalam.
“Saya sudah cakap bahagian saya, mohon jangan kaitkan Nabila Huda dalam perkara ini. Tolonglah,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram Story.
Dalam masa sama, Shila mengakui perubahan sikap penyanyi lagu Fantasia Bulan Madu itu membuatkan dirinya ingin mencari tahu punca di sebalik insiden dirinya diserang Khamis lalu.
“Dan lagi satu, cari tau benda dan tangan ajaib yang menyebabkan benda ini berlaku. Beliau tidak berseorangan.
“Sepanjang saya kenali nama beliau dalam industri 17 tahun lalu beliau langsung tidak begini.
“Saya minta maaf kerana tidak dapat menyebut nama beliau secara terang-terang dan dalam keadaan penuh camera di hadapan saya malam tadi menjadikan ia lebih teruk,” katanya lagi.
Semalam, penyanyi lagu Patah Seribu itu mengesahkan bahawa Amy Search merupakan penyanyi rock lagenda yang menyerangnya ketika menjalani sesi raptai untuk Konsert Ulang Tahun ke-20 MR. D.I.Y minggu lalu.
Polis yang mengesahkan telah menerima laporan mengenai kes itu mendedahkan campur tangan masalah keluarga menjadi punca kepada serangan tersebut.
Shila bagaimanapun menafikan dakwaan kononnya dia pernah mencampuri urusan keluarga seorang penyanyi legenda tersebut.
Malah, Shila menyifatkan serangan yang diterimanya daripada penyanyi tersebut sebagai tindakan tidak profesional selain mencemarkan reputasi kedua pihak.-UTUSAN