Jakim, JAIS siasat program eHATI

Jakim, JAIS siasat program eHATI, dakwaan ada unsur menyimpang ajaran Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)  bersama pihak berkuasa agama negeri Selangor akan menjalankan siasatan terperinci penularan isu melibatkan penganjuran program motivasi rumah tangga (eHATI).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya akan memastikan maklumat yang diperoleh adalah jelas dan sahih sebelum sebarang tindakan wajar diambil selaras peruntukan undang-undang.

Katanya, kerajaan melalui Jakim secara konsisten bersama pihak berkuasa agama negeri, tegas dalam menangani sebarang isu yang melibatkan kepentingan umat Islam.

“Ia khususnya berkaitan keharmonian institusi kekeluargaan, akhlak dan pemeliharaan nilai-nilai Islam.

“Usaha bersepadu ini juga adalah sebahagian daripada komitmen Jakim dan pihak berkuasa agama negeri-negeri dalam menangkis sebarang gejala dan anasir menyimpang serta pengaruh budaya songsang dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sirajuddin berkata, Jakim turut menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, agar tidak terpengaruh dengan fahaman dan gaya hidup bertentangan dengan ajaran Islam dan nilai budaya tempatan.

Dalam hal itu, beliau menasihati orang ramai sentiasa bekerjasama dengan Jakim dan pihak berkuasa agama negeri bagi menyalurkan maklumat serta informasi berkaitan isu-isu seperti ini.

“Langkah ini dalam menangani sebarang unsur yang bercanggah dengan syarak,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial seorang bekas ahli program itu membuat pendedahan secara terbuka di akaun Facebooknya berhubung ajaran itu dikatakan berselindung di sebalik program keluarga bahagia, seni cinta rumah tangga dan motivasi kepada wanita.

Menurut wanita itu, ramai peserta program itu dalam kalangan wanita terutama mereka yang berkerjaya dan mempunyai masalah dalam hubungan suami isteri seperti kecewa dengan suami, rumah tangga sedang goyah, gangguan orang ketiga, suami tak tertarik dengan isteri dan banyak lagi.

Motivator itu turut dikatakan menganut ajaran sesat berbahaya berselindung dengan modul seperti program keluarga bahagia, seni cinta rumah tangga dan motivasi wanita. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN