LIMA: Pihak berkuasa Peru berjanji akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung pembunuhan seorang diplomat Indonesia di ibu negara Lima, sambil memberi jaminan untuk mendapatkan jawapan terhadap kes tersebut.
Zetro Leonardo Purba, yang bertugas di Kedutaan Besar Indonesia di Lima, maut pada malam Isnin selepas ditembak tiga kali oleh seorang individu tidak dikenali ketika berbasikal pulang ke rumahnya, menurut laporan polis.
Kementerian Luar Negeri Peru dalam satu kenyataan pada Selasa menyatakan rasa dukacita mendalam terhadap pembunuhan Zetro dan berjanji akan mengambil segala langkah perlu bagi menjelaskan apa yang berlaku.
Polis turut meningkatkan kawalan keselamatan untuk kakitangan dan fasiliti kedutaan Indonesia di Lima, tambah kenyataan itu.
Seorang pegawai polis Peru, ketika ditemu bual oleh sebuah stesen televisyen tempatan, berkata, kemungkinan kes itu berkaitan dengan dendam peribadi tidak diketepikan.
Menurut rakaman video yang disiarkan media tempatan, Zetro tiba di hadapan rumahnya sebelum dihampiri penyerang yang memakai topi keledar.
Penyerang itu kemudian melarikan diri menaiki sebuah motosikal yang dipandu oleh individu lain, menurut video tersebut.
Menteri Luar Indonesia, Sugiono dalam satu kenyataan di media sosial lewat Isnin berkata, beliau sudah berbincang dengan Menteri Luar Peru, Elmer Schialer, dan meminta siasatan menyeluruh terhadap kematian Zetro yang berkhidmat sebagai pentadbir kedutaan di Lima.
“Kami percaya Peru akan memastikan perlindungan tertinggi terhadap kakitangan kedutaan kami, keluarga mereka dan warga Indonesia di Peru,” kata Sugiono.-AGENSI











