Jakim diarah siasat kontrak katering HCTM tiada sijil halal

Jakim diarah siasat kontrak katering HCTM tiada sijil halal

MOHD. Na'im Mokhtar menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Mohd. Lutfi Radzi yang terlibat nahas di Gerik, Perak di bawah Program Ziarah Madani Peduli di Bukit Banyan, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah diarahkan untuk mengumpulkan maklumat berkaitan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) yang menganugerahkan kontrak katering kepada sebuah syarikat yang tidak memiliki sijil halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, beliau belum boleh membuat sebarang komen setakat ini selagi tidak menerima maklumat lengkap daripada Jakim.

“Saya akan respons perkara itu bila dapat maklumat daripada Jakim. Saya memang sudah arahkan kepada Ketua Pengarah Jakim untuk beliau tengok isu itu dan kemudian dia akan maklum kepada saya.

“Saya tidak boleh hendak respons selagi tidak dapat maklumat daripada Jakim,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi keluarga Perodua Alza yang terbabit kemalangan dengan bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, hari ini.

Beliau mengulas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 tentang syarikat yang dikenal pasti sebagai 0267299-T, memperoleh tender membekalkan makanan kepada pesakit di HCTM dari Februari 2024 hingga Februari 2027 yang tiada sijil halal Jakim.

Menurut laporan itu, perolehan tender tersebut bertujuan ‘menyediakan sajian makanan yang halal kepada pesakit HCTM bersesuaian status Dapur Utama yang mendapat pensijilan halal daripada Jakim’.

LKAN yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam mendapati jawatankuasa penilaian teknikal HCTM tidak mengesyorkan 0267299-T kerana gagal dalam penilaian teknikal kerana ketiadaan sijil halal dan sijil Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

Sementara itu dalam lawatan berkenaan, Mohd. Na’im menyampaikan sumbangan RM10,000 melalui pelaksanaan Program Ziarah Madani Peduli kepada keluarga Mohd. Lutfi Radzi, 37, yang terlibat nahas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik, Perak pada 9 Jun lalu.

Dalam tragedi itu, Mohd. Lutfi dan isterinya, Nurul Ain Zakaria, 36, yang merupakan pasangan guru dalam perjalanan pulang ke Baling, dekat sini selepas bercuti di kampung mentuanya di Terengganu.

Mohd. Lutfi cedera ringan di dada dan bahu sementara isterinya mengalami patah lima tulang rusuk dan anak sulung mereka, Nur Aisyah Nafisah pula patah tulang lutut serta anak bongsu, Muhammad Ahsan Nafis mengalami kesan lebam dan luka ringan di kepala dan badan.

Mohd. Na’im berkata, RM3,000 daripada bantuan itu adalah sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), manakala RM6,000 daripada Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan RM1,000 daripada Tabung Musa’adah Jakim dan Yayasan Wakaf Malaysia.

“Kami hadir bukan sekadar menziarahi, tetapi juga untuk mendoakan, memberikan kekuatan, nasihat dan peringatan. Semoga dengan nasihat dan motivasi yang diberikan, ia dapat membantu mereka dan anak-anak cepat sembuh.

“Kita doakan agar mereka segera pulih dan kembali menyumbang kepada masyarakat, terutama dalam bidang pendidikan. Anak-anak ini adalah aset bangsa, dan kita harap mereka dapat kembali ke sekolah dan terus membina masa depan yang cemerlang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN