KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik)menganjurkan kelas al-Quran dan fardu ain secara berterusan dalam usaha membimbing golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kembali ke pangkal jalan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Mohd. Asri Mat Daud berkata, program dua kali seminggu itu mendapat kerjasama penuh dari Pusat Kaunseling Keluarga Sejahtera Kelantan (PKKSK) Cawangan Kota Bharu Persatuan Perantaraan Pesakit-Pesakit Kelantan (Sahabat).
“Sejak diperkenalkan pada tahun 2019 lalu, kita dapat lihat para peserta sudah menguasai bacaan al-Quran dengan baik.
“Malah ada dalam kalangan mereka sudah insaf dan kembali semula kepada pangkal jalan serta mengetahui tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dalam mencapai keredhaan Allah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Asri memberitahu, kelas tersebut dikendalikan oleh empat fasilitator PKKSK.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Polis Kelantan menyerbu sebuah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa disini yang dijadikan sebagai lokasi penganjuran ‘pertemuan’ gay pada pertengahan Jun lalu.
Susulan itu, Kerajaan Kelantan bersedia untuk berjumpa dengan penganjur pertemuan gay serta pihak polis bagi mendapatkan penjelasan sebenar berhubung program tersebut yang telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk baru-baru ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, pertemuan itu penting supaya tidak berlaku salah faham dan siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.-UTUSAN