PETALING JAYA: Sebuah jabatan kerajaan yang dikaitkan dengan kes kartel susu tepung sudah berada dalam radar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, syarikat yang dikaitkan dengan kes ini telah membuat pembekalan susu tepung tanpa mematuhi piawaian standard SIRIM Berhad (SIRIM) bernilai kira-kira RM120 juta ke jabatan berkenaan.
“Empat beranak terdiri daripada suami isteri serta dua anak masing-masing disyaki pemilik dan pengarah syarikat telah disiasat.
“Sehingga hari ini, sebanyak 12 individu sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi memaklumkan kes ini masih dalam peringkat siasatan.
Jelasnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan
Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang melibatkan aktiviti pengubahan wang haram dan juga Akta Cukai Pendapatan 1967.
Sebelum ini, SPRM telah melaksanakan sitaan akaun berjumlah RM174.6 juta membabitkan 24 akaun individu serta 51 akaun syarikat.
Pada Rabu lalu, SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) membongkar kartel berkenaan susulan penahanan tiga beranak berusia lingkungan 40 hingga 70-an yang terdiri daripada dua pemilik dan seorang pengarah syarikat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, syarikat milik pasangan suami isteri tersebut dipercayai telah memonopoli tender pembekalan susu tepung tersebut sejak 20 tahun lalu.
Kesemua suspek melalui syarikat mereka disyaki membekalkan susu tepung ke sebuah jabatan kerajaan seluruh semenanjung Malaysia yang tidak memenuhi piawaian keselamatan makanan sejak tahun 2021 hingga 2024.
Susulan itu, SPRM telah menyerbu sebuah kilang pemprosesan susu dan juga dua buah syarikat di sekitar Lembah Klang.
Siasatan awal turut mendapati, kebanyakan syarikat-syarikat yang memperoleh tender pembekalan susu tepung ke jabatan kerajaan ini tiada kaitan dalam bidang pengeluaran, pemprosesan dan pengedaran makanan serta minuman.
Latar belakang syarikat-syarikat ini terdiri daripada syarikat perabot, elektrik, kontraktor, hartanah, pengangkutan dan kejuruteraan awam dan ada antara syarikat ini menerima keuntungan antara 10 hingga 50 peratus hasil daripada pembekalan susu tepung tersebut. – UTUSAN