Inisiatif padanan kerjaya Perkeso bantu 4,105 prospek dapat kerja

Inisiatif padanan kerjaya Perkeso bantu 4,105 prospek dapat kerja

STEVEN Sim (tengah) ketika menghadiri program Karnival Kerjaya dan Keusahawanan MYFutureJobs di Kompleks Penjara Seberang Perai, Nibong Tebal, Pulau Pinang.-UTUSAN/ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Seramai 4,105 individu yang selesai menjalani hukuman dan berjaya dipulihkan sejak 2020 sehingga semalam kini telah memulakan lembaran baharu hidup dengan kembali ke alam pekerjaan hasil inisiatif padanan kerjaya oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, lima sektor utama yang merekodkan kadar pengambilan tertinggi bagi menyokong integrasi semula dalam masyarakat ialah sektor pembuatan, pembinaan, pertanian, perkhidmatan makanan, serta perdagangan borong dan runcit.

Tegasnya, usaha memperkasa golongan rentan termasuk prospek atau bekas banduan, melalui penyediaan peluang pekerjaan turut selari matlamat ke arah mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga pekerja asing.

“Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2024, jumlah guna tenaga di Malaysia menjangkau 16.78 juta orang, dengan lebih 2.3 juta atau 13.7 peratus daripadanya terdiri daripada pekerja asing.

“Ini sekali gus mencerminkan keperluan mendesak untuk memanfaatkan tenaga kerja tempatan secara lebih inklusif dan menyeluruh, termasuk dengan menghargai potensi prospek sebagai penyumbang produktiviti kepada masyarakat serta ekonomi,” katanya ketika berucap pada Karnival Kerjaya dan Keusahawanan MYFutureJobs di Kompleks Penjara Seberang Perai, di sini.

Hadir sama Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak; Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Steven turut berkongsi kejayaan pelaksanaan Daya Kerjaya sejak diperkenalkan pada 2020 yang menyaksikan 549 majikan memberi penempatan kerja kepada 2,604 prospek, dengan penyaluran dana insentif melebihi RM12 juta.

Katanya, dasar rangsangan pasaran buruh aktif yang menyediakan insentif RM600 sebulan selama tiga bulan kepada majikan yang menawarkan pekerjaan kepada prospek turut dilihat sebagai menghargai bakat tempatan, selain menyokong usaha integrasi semula dalam masyarakat.

“Dalam hal ini, kita menyambut baik komitmen dinyatakan Federation of Malaysian Manufacturing (FMM) dan Federation of Malaysian Business Associations (FMBA) yang berikrar akan menyediakan sebanyak 4,500 peluang pekerjaan buat prospek pada tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Steven berkata, sebanyak 263 karnival kerjaya telah berjaya dianjurkan oleh Jabatan Penjara Malaysia antara tempoh 2023 sehingga Mei tahun ini dalam usaha untuk menyediakan lembaran hidup baharu buat prospek.

“Karnival pada tahun ini melibatkan penyertaan 20 majikan dengan 37 jenis jawatan ditawarkan, membabitkan lebih 1,000 kekosongan. Saya difahamkan, 600 prospek akan menyertai program ini untuk mengorak langkah ke arah kehidupan lebih baik selepas kembali ke pangkuan masyarakat nanti.

“Saya yakin dan percaya, melalui kerjasama holistik, kita boleh mewujudkan laluan untuk individu-individu ini meningkatkan kemahiran, membina keyakinan dan menyumbang secara produktif kepada ekonomi negara,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN