PETALING JAYA: Inisiatif ‘Open Bonet’ di bawah kendalian syarikat pengeluar produk minuman tempatan berjaya meningkatkan pendapatan bulanan hampir 2,000 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Saudagaar Asia Sdn Bhd (Saudagaar Asia), Said Saiful Fazli Said Aluwi berkata, inisiatif tersebut secara tidak langsung berjaya meningkatkan pendapatan usahawan terlibat sehingga lebih 50 peratus.
Katanya, inisiatif tersebut sekaligus menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi rakyat di negara ini.
“Sebahagian daripada pengedarnya berjaya meraih pendapatan sehingga RM8,000 sebulan untuk mengubah kehidupan mereka.
“Misi kami sangat jelas kerana ingin mewujudkan ekonomi yang membantu meningkatkan taraf hidup golongan B40 agar dapat bergerak ke dalam kelompok M40,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Said Saiful Fazli lagi, seiring dengan matlamat memperkasakan komuniti, produk syarikat tersebut turut memberikan fokus kepada pembangunan usahawan kecil dalam kalangan suri rumah, belia, golongan berpendapatan rendah (B40) dan orang kelainan upaya (OKU) yang ingin menjana pendapatan melalui perniagaan kecil.
Dalam pada itu, Said Saiful Fazli berkata, sebanyak 95,000 usahawan berdaftar di seluruh Malaysia dan Singapura berjaya dihasilkan setakat ini. – UTUSAN