Industri hiburan semakin menyedihkan, Sarimah Ibrahim, Fazura sependapat - Utusan Malaysia

Industri hiburan semakin menyedihkan, Sarimah Ibrahim, Fazura sependapat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua aktres jelita, Che Puan Sarimah Ibrahim dan Nur Fazura bersependapat bahawa industri hiburan tanah air semakin dipenuhi dengan unsur negatif sejak kebelakangan ini.

Menurut Sarimah, dia kecewa melihat ketegangan yang berlaku dalam kalangan sesetengah penggiat industri yang tidak segan untuk bertikam lidah dan melondehkan aib sesama sendiri kepada umum.

“Perkara yang paling menyedihkan yang saya saksikan dalam dua tiga tahun kebelakangan ini ialah pertelingkahan, perselisihan dan pembongkaran aib secara terbuka dalam industri kita.

“Industri filem, televisyen dan muzik kita sangat kecil. Kita sepatutnya berdiri bersama, di set penggambaran mahupun di atas pentas.

“Bukan berpecah atau saling menentang,” tulisnya menerusi sebuah hantaran di Threads.

Dalam hantaran tersebut, pelakon drama bersiri Lelaki Itu turut menggesa agar setiap penggiat seni bersikap lebih profesional dan mewujudkan sebuah suasana yang lebih sihat dalam industri hiburan.

“Saya benar-benar berharap kita dapat saling menyokong antara satu sama lain.

“Ruang untuk semua orang berjaya itu sentiasa cukup tanpa perlu menjatuhkan sesiapa, sama ada di set penggambaran mahupun di atas pentas,” katanya.

Bersetuju dengan perkongsian tersebut, Fazura menyifatkan kepincangan yang berlaku di dalam industri kini semakin tenat bahkan, mampu menjejaskan mutu yang dimiliki oleh seseorang penggiat seni.

“Industri ini semakin penat dan semakin mundur akibat sikap negatif yang berterusan. Kebencian dan rasa tidak selamat yang tidak berasas dan tiada henti membunuh bakat, hubungan serta kreativiti,” tulisnya membalas hantaran Sarimah.

Fazura bagaimanapun menganggap situasi tersebut dapat dilenyapkan sekiranya setiap penggiat seni bersikap lebih matang meskipun mustahil.

“Satu-satunya jalan ke hadapan ialah dengan memiliki pemikiran yang lebih positif dan sikap yang lebih matang tetapi saya tidak nampak ia akan berlaku dalam masa terdekat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN