Skuad remaja negara tumpas kepada Hong Kong

Skuad remaja negara tumpas kepada Hong Kong

AKSI pasukan bola keranjang remaja negara ketika menentang Hong Kong pada perlawanan Divisyen B Kejohanan Bola Keranjang Wanita Bawah 16 Tahun Piala Asia (FIBA U16) 2025 di Karisma Arena, Seremban, semalam - IHSAN MABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Skuad bola keranjang remaja negara gagal meneruskan momentum kemenangan selepas tewas 61-72 kepada Hong Kong pada aksi kedua Divisyen B Kejohanan Bola Keranjang Wanita Bawah 16 Tahun Piala Asia (FIBA U16) 2025 di Karisma Arena di sini semalam.

Selepas cemerlang menewaskan Tonga pada perlawanan pembukaan, rentak skuad muda negara tidak berterusan apabila lawan lebih mendominasi permainan sejak awal. 

Hong Kong tampil agresif dengan kawalan permainan lebih baik sehingga mendahului 39-27 pada separuh masa pertama.

Walaupun pemain negara cuba bangkit pada babak kedua dan berjaya merapatkan kedudukan kepada 61-68, kekangan masa menyaksikan Hong Kong kembali menjarakkan jaringan sebelum menutup perlawanan 72-61.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Tan Kee Hian, kecewa dengan keputusan itu namun mengakui kelebihan jelas memihak kepada Hong Kong.

“Separuh masa pertama persembahan kita tidak menjadi, membolehkan lawan menguasai permainan. Walaupun pemain meningkatkan prestasi selepas rehat, masa yang singkat menafikan peluang untuk memintas,” katanya.

Malaysia akan menentang Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan A hari ini, yang menjadi penentu kedudukan naib juara kumpulan. 

Kemenangan ke atas Indonesia penting untuk memastikan peluang skuad negara ke Divisyen A kekal terbuka.

Kejohanan Divisyen B berlangsung hingga 19 September ini membabitkan lapan pasukan. 

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama Tonga, Hong Kong dan Indonesia, manakala Kumpulan B menampilkan Samoa, India, Iran dan Uzbekistan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN