KUALA TERENGGANU: Penampilan pertama barisan import baharu Terengganu FC (TFC) disifatkan sebagai cukup meyakinkan selepas pasukan itu mencatat kemenangan dalam aksi persahabatan menentang Penang FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini malam tadi.
Ketua jurulatihnya, Badrul Afzan Razali berkata, walaupun semua pemain import itu hanya bersama pasukan dalam tempoh kurang dua minggu, mereka menunjukkan komitmen tinggi dan semangat untuk segera menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan.
“Saya sangat berpuas hati dengan penampilan sulung mereka khususnya dari segi kesungguhan dan keinginan untuk membantu pasukan mencari kemenangan.
“Walaupun ada beberapa kelemahan yang masih perlu diperbaiki, mereka sudah beri bayangan positif. Saya bersyukur kerana mereka benar-benar bantu membina keserasian awal dalam pasukan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.
Menurut Badrul Afzan, beberapa posisi masih perlu diperkemas terutama di bahagian tengah dan pertahanan TFC namun beliau optimis barisan kejurulatihan mampu memperbaikinya dari hari ke hari.
“Kami juga sedang menunggu kehadiran seorang lagi pemain import di posisi pertahanan. Jika semuanya berjalan lancar, slot kuota bebas itu melengkapkan pasukan kita sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, TFC dijadual meneruskan siri pramusim ke Lembah Klang minggu depan bagi menghadapi beberapa lagi perlawanan persahabatan dalam usaha memperkemaskan pasukan menjelang kempen Liga Malaysia musim 2025/2026. – UTUSAN









