Imigresen selamatkan 14 warga asing dipaksa melacur

Imigresen selamatkan 14 warga asing dipaksa melacur

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 14 gadis warga asing yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks sebuah premis pelacuran di Jalan Petaling di sini diselamatkan Jabatan Imigresen (Imigresen) Kuala Lumpur melalui Op Tip.

Serbuan bermula kira-kira pukul 1.15 petang itu dijalankan hasil maklumat dan risikan.

Difahamkan, ada antara mangsa mendakwa ‘dijual’ oleh kekasih mereka selepas berpisah ke sarang pelacuran itu bagi tujuan eksploitasi seks.

Semasa serbuan, terdapat beberapa pelanggan di premis tersebut cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota imigresen.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, mangsa yang diselamatkan berusia lingkungan 18 hingga 36 tahun terdiri daripada 10 warga Bangladesh, tiga India serta seorang Indonesia.

Menurutnya, seramai tiga lelaki tempatan dipercayai penjaga premis untuk siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Siasatan mendapati premis itu beroperasi bermula 10 pagi hingga 11 malam dan pelanggan datang secara ‘walk in’.

“Semasa serbuan terdapat 16 pelanggan lelaki membabitkan warga Nepal, Bangladesh dan Myanmar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, dipercayai setiap pelanggan dikenakan caj RM60 untuk mendapatkan khidmat layanan wanita terbabit.

Katanya, operasi ini turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan wanita terbabit dengan berpandukan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI) 2.0.

“Kita telah memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta ATIPSOM 2007,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN