KANGAR: Perkhidmatan Hohobus yang julung kali diperkenalkan di negeri Perlis dijangka menjadi tarikan baharu pelancongan yang mampu menarik minat orang ramai menikmati keindahan alam semula jadi serta mengunjungi lokasi ikonik negeri ini.
Perkhidmatan bas pelancongan yang lazimnya hanya terdapat di Lembah Klang itu bakal memulakan operasinya hujung minggu ini dengan tambang promosi serendah RM3 bagi dewasa, manakala percuma untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
Melalui laluan khas Hohobus, pengunjung akan dibawa ke 10 hentian menarik iaitu Terminal Perlis Sentral, Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, Masjid Alwi, Taman Bukit Lagi, Muzium Kota Kayang, Kampung Warna Warni Seberang Ramai, Masjid Terapung Al Hussain, Jeti Kuala Perlis, Medan Ikan Bakar Kuala Perlis dan Kuala Perlis, dengan tempoh perjalanan sekitar satu jam 45 minit.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, inisiatif ini merupakan hasil kerjasama antara Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Terminal Perlis Sentral bagi memudahkan pelancong melawat lokasi tumpuan sekitar Kangar dan Kuala Perlis.
“Selain merancakkan industri pelancongan, Hohobus turut menyokong usaha menghidupkan semula Terminal Perlis Sentral yang mula beroperasi beberapa bulan lalu,” katanya selepas majlis perasmian Hohobus di Terminal Perlis Sentral, di sini, semalam.
Majlis pelancaran itu disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang turut berkenan mencemar duli menaiki perkhidmatan bas itu dan melawat sekitar pekan Kangar.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil dengan diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Abu Bakar Hamzah dan Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth.
Sementara itu, Affendi berkata, pada peringkat awal hanya sebuah Hohobus akan disediakan dan akan ditambah mengikut sambutan.
Buat masa ini, perkhidmatan hanya beroperasi pada Sabtu dan Ahad bermula jam 8 pagi. Jika sambutan menggalakkan, ia mungkin dilanjutkan ke waktu malam untuk menikmati suasana indah cahaya lampu sekitar Perlis,” katanya. – UTUSAN










