KUALA LUMPUR: Perhimpunan Turun Anwar yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai ini disifatkan sebagai satu helah politik oleh kumpulan yang mahu kekal relevan dalam arena politik.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar berkata, demonstrasi yang dianjurkan oleh Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu bukanlah satu manifestasi sebenar rasa tidak puas hati rakyat seperti yang didakwa oleh penganjur himpunan itu.
Menurut beliau, perhimpunan tersebut bukan protes rakyat tetapi usaha sekumpulan kecil tertentu yang mahu mengubah keputusan yang gagal dicapai mereka melalui peti undi.
Katanya, kerajaan pada hari ini sudah mendapat mandat melalui pilihan raya yang bebas dan adil serta sudah bekerja keras untuk menyelesaikan pelbagai isu yang berpanjangan ditinggalkan oleh pentadbiran terdahulu.
“Jika mahukan perubahan, bertanding dalam pilihan raya akan datang dan itu adalah cara demokrasi. Malaysia tidak boleh terganggu dengan ‘gangguan’ ini. Apa yang kita perlukan sekarang ialah kematangan, perpaduan dan penyampaian,” katanya.
“Apa yang diperlukan negara ketika ini ialah kepemimpinan yang bijaksana, bukannya pemimpin yang mengejar perhatian atau populariti tetapi pemimpin yang berfikir melebihi diri mereka, yang bertanya ‘Apa akan berlaku kepada negara ini apabila saya tiada?” katanya ketika berucap pada Forum Ekonomi Kebangsaan anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia di sini hari ini. – UTUSAN










