Helikopter terhempas: Dua pegawai, tiga anggota PDRM dirawat di Hospital Sultanah Aminah

Helikopter terhempas: Dua pegawai, tiga anggota PDRM dirawat di Hospital Sultanah Aminah

MOHD. KHALID ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan dua pegawai dan tiga anggota yang terlibat dalam kejadian helikopter terhempas berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah di sini pagi tadi dihantar di Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, kelima-lima mangsa membabitkan dua pegawai dan tiga anggota termasuk juruterbang dari Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman serta anggota dari Balai Polis Tanjung Kupang.

Katanya, kejadian kira-kira pukul 10.25 pagi itu melibatkan helikopter jenis AS355N dengan nombor pendaftaran 9M-PHG itu sedang melaksanakan latihan sempena Nuclear Security Detection Exercise Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapore 2025 (MITSATOM 2025).

“Kita mengesahkan helikopter milik PDRM dilaporkan terhempas berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah di sini pagi tadi ketika sedang menjalani latihan keselamatan serantau.

“Pesawat itu sebelum ini dilaporkan berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada pukul 9.51 pagi sebelum mengalami nahas di kawasan Jeti Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Gelang Patah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, susulan kejadian, siasatan menyeluruh akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia selaras dengan peruntukan Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Jelasnya, PDRM turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi penyelamat termasuk Maritim Malaysia dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) atas tindakan pantas dan kerjasama diberikan.

“Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan video berkaitan kejadian yang boleh menjejaskan siasatan atau sensitiviti keluarga mangsa.
“Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi PDRM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN