Helikopter PDRM terhempas, lima kru selamat

Helikopter PDRM terhempas, lima kru selamat

LOKASI helikopter PDRM terhempas berhampiran jeti Maritim Malaysia di Jalan Cabang, Pekajang, Iskandar Puteri.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan terhempas ke dalam Sungai Pulai semasa menyertai Latih Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura 2025 (MITSATOM 2025), hari ini.

bagaimanapun, difahamkan lima kru terdiri daripada pegawai dan anggota polis yang menaiki helikopter tersebut terselamat.

Kejadian dilaporkan berlaku berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jalan Cabang, Pekajang, Gelang Patah, dekat sini pada pukul 10.15 pagi tadi.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan kejadian itu melibatkan sebuah helikopter jenis AS355N, nombor pendaftaran 9M-PHG.

Helikopter tersebut berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada pukul 9.51 pagi.

Lima mangsa yang  berada dalam helikopter itu diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah  (HSA) di Johor Bahru untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Latihan MITSATOM 2025 merupakan kerjasama pelbagai negara bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan koordinasi keselamatan maritim serantau.

Latihan anjuran Jabatan Tenaga Atom itu dilaksanakan di bawah kerangka ASEAN Network of Regulatory Bodies on Atomic Energy (ASEANTOM) selaras dengan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini.

MITSATOM 2025 turut mendapat sokongan penuh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang berperanan membimbing negara-negara terlibat sepanjang proses perancangan dan pelaksanaan latihan.

Selain PDRM, agensi yang terlibat ialah Maritim Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Luar Negeri (KLN) serta pihak Berkuasa Pelabuhan Johor.

MITSATOM 2025 yang berakhir esok turut disertai pemerhati antarabangsa dari Amerika Syarikat (AS), Interpol, Arab Saudi dan Brunei Darussalam, selain delegasi rasmi dari negara-negara ASEAN yang terlibat.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN