PADANG BESAR: Pergolakan antara Thailand dan Kemboja sehingga mencetuskan peperangan tidak menjejaskan pelancong Malaysia mengunjungi negara gajah putih tersebut khususnya di kawasan selatan sepanjang cuti hujung minggu ini.
Dari semalam sehingga Ahad, dijangka sekitar 10,000 pengunjung dari Malaysia memasuki Thailand dengan lebih 70 peratus tempahan hotel terutama di Hatyai pula direkodkan sudah penuh.
Presiden Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Halal Thailand-Asia Tenggara, Aida Oujeh berkata, perang yang berlaku di wilayah Surin dan Si Sa Ket di sempadan Thailand-Kemboja itu tidak menjejaskan kawasan di selatan, utara dan tengah Thailand.
Katanya, sebagai contoh, jarak dari selatan Thailand ke lokasi perang berkenaan melebihi 1,700 kilometer (km), malah di Bangkok juga sebenarnya tidak terjejas sama sekali kerana jaraknya juga masih jauh iaitu 700 km.
Katanya, ramai yang salah faham kononnya lokasi perang tersebut berdekatan sebaliknya ia agak jauh dan kawasan selatan Thailand ini tidak terlibat.
“Pelancong tetap ramai memandangkan kawasan di selatan Thailand termasuk di sebelah utara dan tengah ini, tidak terlibat perang. Tempahan hotel di Hatyai juga sudah lebih 70 peratus penuh dengan anggaran kira-kira 10,000 pelancong Malaysia sepanjang tiga hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin akhbar ini melaporkan, kestabilan rantau ASEAN tercalar selepas Thailand dan Kemboja saling berbalas serangan udara, roket dan tembakan artileri.
Kedua-dua negara terjerumus dalam sengketa berpanjangan ekoran pertikaian sempadan melibatkan kawasan dikenali sebagai Segitiga Zamrud lokasi pertemuan sempadan Thailand, Kemboja dan Laos.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim menasihat pelancong dari Malaysia menilai situasi semasa sebelum bertolak ke Thailand.
Bagaimanapun katanya, kawasan tumpuan pelancong Malaysia seperti Hatyai dan Songkhla tidak terlibat kerana jaraknya jauh dengan lokasi konflik.
“Pada masa ini, kita juga belum menerima sebarang arahan rasmi dan lanjut daripada Wisma Putra berhubung isu tersebut dan operasi di pintu sempadan berjalan seperti biasa,” katanya.-UTUSAN










