KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shila Amzah menegaskan dia bersikap profesional meskipun selepas ini terpaksa ditemukan dalam satu acara dengan penyanyi legenda yang menyerangnya baru-baru ini.
Namun Shila berharap agar aspek keselamatan dipertingkatkan supaya serangan yang diterimanya tidak berulang.
“Saya tidaklah selepas ini meletakkan syarat, kalau ada saya dalam acara itu, tak boleh ada beliau sebab penganjur bebas memilih artis yang mereka mahukan. Industri seni kita kecil, pandai-pandailah kita jaga diri.
“Saya profesional, sepanjang 25 tahun menyanyi tak pernah cetuskan masalah dengan sesiapa. Ini baru kali pertama saya berdepan serangan sebegitu.
“Tapi selepas ini, harap saya selamat kalau dipertemukan lagi dengan penyanyi legenda tersebut.
“Cuma terpulang kepada beliau sekiranya memilih untuk tidak berada dalam satu acara dengan saya,” kongsinya.
Shila sebelum ini membuat laporan polis berhubung serangan verbal yang diterimanya dari seorang penyanyi legenda ketika melakukan raptai sebuah konsert di ibu negara minggu lepas.
Hasil keterangan yang diambil polis dari penyanyi senior itu mendapati campur tangan urusan keluarga sebagai punca serangan tersebut berlaku. Shila bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
Dalam masa yang sama, ibu dua cahaya mata itu memohon agar masyarakat berhenti mengaitkan kejadian itu dengan penyanyi Rock, Datuk Awie.
“Bukan Datuk Awie, Ella atau mana-mana penyanyi lain. Beliau adalah bapa Nabila Huda,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Shila memaklumkan tidak merancang untuk bersemuka dengan legenda Rock tersebut.
“Tindakan beliau tinggalkan kesan kepada saya. Beri saya waktu untuk pulih daripada situasi ini,” kongsinya.- UTUSAN