PETALING JAYA: Pengharaman sepenuhnya penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape dijangka mengurangkan kutipan hasil cukai kerajaan, namun ia juga dilihat mampu memberi penjimatan besar terhadap kos penjagaan kesihatan negara dalam jangka masa panjang.
Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, meskipun larangan penjualan vape memberi implikasi langsung kepada pendapatan negara, impaknya dilihat lebih kecil berbanding beban kewangan yang ditanggung kerajaan bagi merawat penyakit akibat penggunaannya.
Katanya, kajian terdahulu membuktikan kos merawat penyakit akibat penggunaan vape dan tembakau lazimnya melebihi hasil cukai yang diperoleh daripada produk berkenaan.
“Kerugian hasil cukai daripada industri vape mungkin tidak signifikan jika dibandingkan dengan kos penjagaan kesihatan jangka panjang.
“Kerajaan boleh menampung kehilangan pendapatan ini dengan meningkatkan cukai sektor lain atau menyalurkan semula perbelanjaan kesihatan ke arah program pencegahan yang lebih berkesan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, kerajaan sedang mengkaji untuk mengharamkan penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape di seluruh negara sebagai langkah menjaga kesihatan awam dan melindungi golongan remaja serta kanak-kanak.
Mengulas mengenai kesannya terhadap peniaga, Idham berkata, golongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bergantung sepenuhnya kepada jualan produk vape bakal berdepan risiko muflis atau pengangguran.
Katanya, meskipun langkah pengharaman dibuat atas dasar kesihatan awam, kebajikan peniaga tetap perlu diberi perhatian agar mereka tidak tercicir daripada arus pembangunan ekonomi negara.
“Kerajaan boleh menyediakan insentif seperti bantuan modal, latihan kemahiran semula atau galakan untuk beralih ke industri lain yang lebih mampan. Langkah ini lebih selari dengan matlamat jangka panjang untuk melindungi kesihatan awam tanpa mengabaikan kebajikan peniaga,” katanya. – UTUSAN










