Hanya undi tak percaya boleh turunkan Anwar, bukan perhimpunan

Hanya undi tak percaya boleh turunkan Anwar, bukan perhimpunan

FAHMI Fadzil bergambar bersama peserta dari seluruh negara pada Permukiman Komuniti Madani Semenanjung 2025 di Stadium Mini Bistari, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Laungan ‘turun Anwar’ dan ‘bangkit, bangkit’ yang bergema di Dataran Merdeka, Kuala lumpur pada Himpunan Turun Anwar, semalam tidak menjejaskan kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, cara paling mudah menurunkan seorang Perdana Menteri adalah dengan membawa usul tidak percaya pada Sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung, bukannya melalui perhimpunan yang digembar-gemburkan dihadiri 500,000 orang.

Katanya, cara kedua pula adalah melalui pilihan raya umum (PRU).

“Perdana Menteri sudah sebut dari awal sebelum sidang Parlimen pada 21 Julai lalu agar bawa usul undi tidak percaya tetapi hingga sampai hari ini, tetapi setelah seminggu tidak ada siapa membawanya.

“Jangan jadi macam Langkah Sheraton yang telah memporak-perandakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH). Ketika itu bayangkan kita dapat tiga Perdana Menteri dan itu bukan satu keadaan yang baik untuk ekonomi dan pandangan masyarakat antarabangsa,” katanya pada Permukiman Komuniti Madani Semenanjung 2025 di Stadium Mini Bistari, Ayer Keroh di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta Komuniti Madani dari Perlis yang bertanya adakah kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri terjejas selepas perhimpunan tersebut.

Fahmi berkata, kerajaan akan mengubah cara penyampaian melalui Komuniti Madani di seluruh negara yang akan menerima maklumat terperinci berkaitan sesuatu pengumuman dalam tempoh 24 jam selepas diumumkan.

Katanya, antara pengumuman besar yang akan diumumkan Perdana Menteri dalam masa terdekat ialah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada 31 Julai ini.

“Kita akan teliti apa cara terbaik untuk sampaikan penjelasan kepada rakyat di peringkat akar umbi. Untuk perkara-perkara mungkin sukar tapi kita nak Komuniti Madani dapat penjelasan paling mudah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN