GEORGE TOWN: Penangguhan kes yang berpanjangan di Mahkamah Syariah harus dielakkan bagi memastikan keadilan dapat dicapai dengan segera khususnya melibatkan golongan yang kurang berkemampuan dan memerlukan keputusan pantas.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi berkata, antara punca utama kelewatan penyelesaian kes adalah penangguhan yang sering kali berpunca daripada pihak peguam dan aspek pentadbiran mahkamah itu sendiri.
“Saya beritahu hakim-hakim. Mereka mesti bertegas dan berani menolak permohonan penangguhan yang tidak disertakan dengan alasan yang kuat. Jika tidak, keadilan tidak akan dapat dilaksanakan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah bertajuk ‘Memartabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia’ sempena Konvensyen Perundangan Syariah dan Kehakiman Syariah Pulau Pinang 2025 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, penangguhan kes yang berpanjangan bukan sahaja menjejaskan perjalanan sistem keadilan, malah, bercanggah dengan semangat dan ajaran Islam itu sendiri.
Pada masa yang sama, beliau turut menyarankan kepada Mahkamah Syariah agar mengambil langkah proaktif bagi memastikan akses kepada keadilan tidak terhalang akibat prosedur yang rumit dan ketidakmampuan kewangan khususnya bagi golongan yang tidak berkemampuan.
“Saya mencadangkan agar mahkamah dari sudut pentadbiran membantu golongan yang memerlukan tetapi tidak mampu mendapatkan khidmat guaman. Kita kena bantu mereka,” katanya.
Beliau berkata, dalam hal ini juga, pentadbir Mahkamah Syariah perlu mewujudkan satu format khusus yang mudah digunakan oleh orang awam untuk memfailkan kes tanpa perlu melalui proses yang kompleks atau melalui khidmat peguam.
“Kalau suami nak ceraikan isteri, mana isteri nak cari duit untuk lantik peguam? Kadang-kadang isteri datang ke mahkamah, suami tak hadir, kes ditangguh pula. Sampai bila nak tunggu?” soal beliau.
Dalam sesi pembentangan, Azmi berkata, ketika memegang jawatan Ketua Hakim Negara, beliau mengeluarkan arahan khas agar penangguhan tidak dibenarkan tanpa sebab kukuh dan arahan itu ditandatangani sendiri olehnya dan ia sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum itu. – UTUSAN











