KUALA LUMPUR: Selepas lebih 14 tahun negara itu bergolak akibat konflik berpanjangan, rakyat Syria terus berdepan kesengsaraan hidup tanpa kemudahan asas, infrastruktur yang musnah dan masa depan yang tidak menentu.
Prihatin terhadap situasi itu, GRT Malaysia tampil melancarkan inisiatif kemanusiaan dikenali sebagai Project Repair Syria bagi membantu membina semula kehidupan rakyat Syria yang terjejas teruk akibat peperangan.
Melalui kempen ini, GRT Malaysia mensasarkan kutipan dana awam bagi melaksanakan tiga fokus utama bantuan iaitu pembaikan infrastruktur, pendidikan dan kesihatan – elemen penting ke arah pemulihan jangka panjang rakyat Syria.
Menurut Penolong Eksekutif Perkongsian GRT Malaysia, Ruslina Abdul Rani, kempen tersebut akan digerakkan dalam tiga fasa utama, bermula dengan penghantaran pasukan dari Malaysia ke Syria bagi menjalankan penilaian dan pendokumentasian keperluan rakyat di sana.
“Selepas 14 tahun pergolakan, masih ramai rakyat Syria hidup dalam keadaan daif dan serba kekurangan. Kempen ini merupakan usaha kecil kami untuk memulihkan maruah dan memberi sinar harapan baharu kepada mereka,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kempen itu, di sini hari ini.
Katanya, platform kutipan dana telah dilancarkan dan dibuka kepada orang ramai serta rakan strategik untuk menyalurkan sumbangan secara langsung kepada inisiatif tersebut.
“Semua dana yang dikumpul akan disalurkan terus kepada projek bantuan dan pembangunan semula yang memberi impak nyata kepada masyarakat yang terkesan,” ujarnya.
GRT Malaysia turut mengalu-alukan penyertaan rakan korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan media untuk bersama menjayakan kempen berkenaan agar manfaatnya dapat disalurkan secara lebih meluas.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi laman web rasmi GRT Malaysia di atau menghubungi Ruslina Abdul Rani di talian 019-390 4455.
Kempen ini membawa slogan “Bersama kita baiki Syria – satu kehidupan pada satu masa”, simbolik kepada usaha memulihkan kembali sebuah negara yang musnah, satu komuniti demi satu.