PETALING JAYA: Kagum dengan tenaga yang dimiliki Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza semasa Konsert Violet Skies di Genting, penyanyi, Noh Salleh turut mendaftarkan diri ke kelas seni bela diri Muay Thai.
Cerita Noh atau Mohammad Noh Salleh, 40, aktiviti itu dilakukan selepas Siti berkongsi rahsia mengekalkan stamina kepadanya melalui sukan tempur asal Thailand itu.
“Pada waktu ini, aku rasa kena daftar juga kelas Muay Thai sebab Tokti (Siti Nurhaliza) berjaya, stamina hebat sampai habiskan konsert dua hari. Dia kata rahsianya Muay Thai.
“Aku pun cari tempat bersesuaian untuk berlajar Muay Thai,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik memaparkan aktiviti sehariannya ke kelas Muay Thai di Instagram.
Cerita penyanyi Rahsia Tuhan itu lagi, dia bersemangat menyertai sebuah kelas di Damansara Jaya namun mengakui bukan mudah untuk mempelajari sukan tempur tersebut.
“Sampai sana pagi-pagi. Hari pertama macam yakin bagun pagi ada tenaga tapi hanya bertahan 20 saat pertama.
“Kemudian rasa macam nak nangis, rasa nak pengsan sebab tak ada oksigen.
“Tapi tahun ini bangga sebab boleh bangun pagi dan laksanakan kelas ini.
“Memang tiada oksigen sampai jurulatih perasan. Itulah serba sedikit kelas aku,” tambahnya yang sudah menempah 10 slot kelas Muay Thai.
Terdahulu, Siti Nurhaliza pernah berkongsi gemar melakukan aktiviti Muay Thai sebagai senaman untuk memastikan tubuhnya sentiasa cergas dan sihat.
Bukan itu sahaja, berat badannya juga semakin menyusut.
Sebelum ini, Noh Salleh dijemput menjadi tetamu undangan untuk Konsert Violet Skies Siti Nurhaliza di Genting pada 6 Julai lalu.
Kongsi Noh, itu merupakan pencapaian tertingginya sebagai artis.
Ketika konsert, mereka berduet menyanyikan tiga buah lagu iaitu Bengawan Solo, Rahsia Tuhan dan Pagi Yang Gelap. -UTUSAN