PETALING JAYA: Pusat pendidikan awal kanak-kanak berteraskan Islam Little Caliph International Sdn. Bhd. (LSIB) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama LC Emea Ltd. bagi menjalinkan kerjasama di rantau Timur Tengah dan United Kingdom (UK).
LCISB dalam satu kenyataan berkata, kerjasama dua hala antara universiti dan tadika di negara berkenaan bagi melaksanakan program akademik dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak.
Majlis disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif LCISB, Datuk Roslan Nordin dan wakil rasmi LC Emea Ltd., Akash Khan.
Dalam pada itu Roslan berkata, usaha ini secara tidak langsung dapat mengetengahkan modul pendidikan pra-sekolah Islamik berdasarkan acuan Malaysia ke luar negara.
“Langkah ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Little Caliphs® sebagai jenama pra-sekolah Islamik pilihan di Malaysia, malah membuktikan keupayaan kami untuk berkembang di pentas antarabangsa dengan membawa nilai-nilai murni Islam dalam pendidikan awal kanak-kanak,” katanya. – UTUSAN











