PETALING JAYA: “Seronok jadi batu api? Apa yang kau dapat mengapi-apikan orang?”
Demikian kata pelakon, Datuk Fizz Fairuz seolah menyindir seseorang individu sehingga menuai perhatian dalam kalangan warganet.
Menerusi hantaran di TikTok, Fizz turut memberi gambaran bahawa seorang individu yang digelar ‘kawan’ menjadi punca pertelingkahan dua pihak.
“Bangga bila dapat melagakan orang? Dapat kepuasan bila orang yang kau tak suka bergaduh besar?
“Ada orang bergaduh kau menghasut, ada orang bertelingkah kau sibuk nak tahu, ada orang bertengkar, kau melagakan dua pihak. Ada orang berselisih faham kau sibuk nak jaga tepi kain orang,” katanya.
Meskipun tidak mendedahkan identiti individu yang dimaksudkan, bekas penyampai radio Suria FM itu menganggap golongan sedemikian perlu dihindari.
“Bahaya kalau ada kawan sejenis batu api ini. Mereka adalah orang yang paling gembira sekiranya berlaku pertengkaran, mereka gembira kata-kata mereka diterima pakai walaupun ia fitnah.
“Mereka juga bangga dengan kebolehan mereka menghasut orang. Semoga kita dijauhi daripada bertemu orang-orang sebegini. Seronok? Itulah nama manusia,” luahnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut berteka-teki individu yang mencetuskan kemarahan pelakon filem Munafik itu.
“Tak pernah Datuk posting macam ini, mesti sudah lama pendam kan?” kata seorang netizen.
“Siapakah orang itu, jahat sungguh. Sabar Datuk, rezeki Allah tu luas,” komen seorang lagi pengguna media sosial
“Kifarah itu ada, jangan risau. Lambat atau cepat sahaja,” komen seorang pengikutnya.
Pada Jumaat lalu, Suria FM memaklumkan bahawa Fizz tidak lagi berkhidmat di stesen radio tersebut setelah setahun enam bulan mengendalikan segmen Morning Morning Suria bersama Ajak Shiro dan Khai Hassan.
Difahamkan keputusan itu diambil kerana Fizz mahu memberi tumpuan kepada anak-anak dan membantu isteri, Datin Almy Nadia untuk menguruskan keluarga.-UTUSAN