Festival Filem ‘cap ayam’, trofi Pelakon Terbaik tidak sah?

Festival Filem ‘cap ayam’, trofi Pelakon Terbaik tidak sah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA seorang pelakon hebat, Datuk Hilal Azman berkongsi berita dirinya merupakan penerima trofi Pelakon Terbaik Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ke-61 mengalahkan deretan pesaing daripada 25 negara lain, sudah semestinya kita turut tumpang berbangga. Cuma apa yang menimbulkan kemusykilan kami di Utusan Malaysia ialah menurut Hilal, festival itu diadakan di Macau, China pada Februari lalu.

Sedangkan, masih basah dalam ingatan kami bahawa ada festival filem dengan nama sama diraikan di Genting Highlands, Malaysia sebagai tuan rumah pada Disember tahun lalu. Hasil semakan kami juga mendapati bahawa pemenang untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik disandang pelakon Thailand, Putthipong Assaratanakul menerusi filem How to Make Millions Before Grandma Dies.

Malaysia hanya membawa empat trofi ketika itu menerusi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Fabian Loo), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Azira Shafinaz), Filem Pendek Terbaik (The Lonely Piano) dan Anugerah Khas Juri 1 (EMP4T).

Dengan segala ‘kebetulan’ dan kemiripan yang meragukan, pasti hanya ada salah satu yang dipanggil kebenaran. Selebihnya, hanya sebuah ‘festival filem’ tunggangan, sekadar olok-olok untuk memanipulasi harapan orang yang menagih pengiktirafan. Paling sadis, hati para pemenang ini akan hancur selepas mengetahui trofi dalam genggaman sekadar cap ayam.

Setiausaha Agung Federation Motion Producer in Asia Pacific, Panchacharam Nalliah menjelaskan jenama Festival Filem Asia Pasifik (APFF) memiliki sejarah panjang sejak 1952.

“Ketika itu, Federation Motion Producer in Asia Pacific (FPA) dibentuk daripada beberapa negara dan bertekad mahu mengadakan Festival Filem sendiri bagi meraikan filem-filem di negara Asia Pasifik. APFF pertama diadakan pada 1954, Malaysia pernah menjadi tuan rumah sebanyak lima kali.

“Cuma pada 2015, FPA ada kesulitan mengadakan APFF, jadi ada satu entiti komersial dari China tawarkan untuk jadi penganjur, sudah tentu kami gembira. Tapi apabila kami ke sana, rupanya festival filem tidak boleh dibuat di sana kerana undang-undang China yang ketat untuk majlis anugerah.

“Pihak tersebut mahu buat juga Festival Filem ini kerana kaut banyak duit. Mereka dapat deretan penaja cuma tiba-tiba mereka tambah kategori sendiri dan pemenangnya daripada mereka juga. Sebab itu kalau perasan, anugerah itu diadakan sama ada di Hong Kong atau Macau. Tempat lain tak boleh.

“Bagaimanapun, FPA sudah keluarkan surat larangan dan pecat mereka. Tidak boleh berurusan lagi atau guna nama APFF, tapi mereka buat juga demi duit. Duit bukan apa yang FPA kejar, kita cuma mahu karya terbaik filem Asia Pasifik ini dipromosi dan diiktiraf,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Pengerusi Penganjuran Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ke-61, Aron Koh, menegaskan anugerah yang sebenar telah pun diadakan di Genting Highlands, tahun lalu. Mana-mana festival menggunakan nama sama di tempat lain disifatkan sebagai scammer dan tidak berprestij.

“Saya kecewa dan sedih dengan situasi yang berlaku. Saya harap orang ramai dapat menilai di mana logik festival filem melibatkan banyak negara di Asia Pasifik hanya dibuat di Macau sahaja? Mengapa liputan mengenai acara itu hanya ditulis dalam bahasa Cina?

“Malah paling penting, mereka tidak mempunyai sistem penjurian yang profesional. Jika ini majlis anugerah yang berprestij, perlu ada juri berkaliber daripada pelbagai negara yang terlibat.

“Kami mempunyai laporan dan sistem dokumentasi untuk penganjuran Festival Filem Asia Pasifik yang tulen, boleh semak di asianpacificfilm.org,” katanya.

Terdahulu, Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ke 61 dilaporkan diadakan selama tiga hari bermula 29 November hingga 1 Disember 2024 di Wyndham Ion Majestic Hotel, Genting Highlands.

Namun begitu, kemusykilan timbul apabila Datuk Hilal Azman berkongsi kemenangannya di festival filem serupa yang diadakan di Macau, China Februari tahun ini menerusi filem Memori. Berita kemenangan Hilal itu turut dikongsikan penerbitnya, Creative Stew di laman Instagram rasmi mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN