KUALA LUMPUR: Isu membabitkan Felcra yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bakal memberi kesan kepada lebih 100,000 pesertanya di seluruh negara.
Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berkata, apa yang berlaku dalam Felcra itu adalah satu bentuk keangkuhan korporat yang membelakangi prinsip tatakelola baik dan mengundang persoalan sama ada wujud campur tangan luar dalam keputusan pelaburan syarikat milik kerajaan itu.
Berucap ketika membahaskan LAKN, beliau melahirkan kekecewaan terhadap kegagalan agensi itu penambahbaikan meskipun telah berulang kali ditegur oleh Jabatan Audit Negara sejak beberapa tahun lalu.
“FELCRA gagal berubah, yang menanggung akibat ialah lebih 100,000 peserta di seluruh negara,” ujar beliau.
Antara isu utama yang dibangkitkan ialah pembelian estet sawit di Telupid, Sabah bernilai RM64.61 juta oleh Felcra yang tidak sesuai diusahakan.
Lebih mengejutkan, katanya, pembelian tetap diteruskan walaupun mendapat bantahan ahli Lembaga Felcra dan amaran daripada wakil Kementerian Kewangan.
“Apa yang lebih memalukan, keputusan pembelian tidak direkodkan dalam minit mesyuarat dan hanya disahkan melalui resolusi baharu yang tidak didokumenkan secara sah,” jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pembelian aset tersebut seperti mana siasatan ke atas dua pegawai Felcra tahun lalu hasil daripada syor PAC.
“Daripada bazirkan RM64 juta kepada tanah yang tidak ekonomik, lebih baik dana itu dibawa ke Padang Terap.
“Banyak kawasan Felcra di sana masih perlukan pembangunan infrastruktur, peningkatan ekonomi dan projek pertanian moden,” ujarnya.
Menurutnya, sebuah projek penternakan ayam pedaging sistem tertutup bernilai RM30 juta pernah dicadangkan di Kampung Kubang Palas dalam RMK-12 tetapi ditolak atas alasan tiada peruntukan.
Justeru, beliau mendesak agar projek itu diluluskan dalam RMK-13.
Nurul Amin turut menegaskan bahawa Felcra hari ini bukan lagi menjadi simbol kebangkitan luar bandar, tetapi menjadi bahan utama laporan audit negara berhubung salah urus dan pembelian tidak munasabah.
“Saya bercakap bagi pihak wajah-wajah sugul mak cik pak cik Felcra, yang menadah langit waktu hujan, mengharap hasil yang tak cukup untuk sara hidup. Mereka bukan minta banyak, cuma mahu tanah yang diperjuangkan sejak 40 tahun lalu diurus dengan amanah,” katanya penuh emosi. – UTUSAN