KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan kerajaan gagal membatalkan saman oleh bekas pengendali Menara Kuala Lumpur yang menuntut ganti rugi melebihi RM1 bilion ekoran penamatan kontrak yang didakwa dilakukan secara salah.
Hakim Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas mendapati terdapat isu-isu yang perlu dibicarakan.
Pada Mac 2025, Hydroshoppe Sdn. Bhd. (Hydroshoppe) bersama anak syarikatnya Menara KL Sdn Bhd (MKLSB) memfailkan saman terhadap Fahmi Fadzil, Kerajaan Malaysia, LSH Service Master Sdn. Bhd., LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd.
LSH Service Master adalah syarikat usaha sama antara LSH Best Builder dan Service Master yang dianugerahkan konsesi pengurusan menara tersebut menggantikan Hydroshoppe dan MKLSB.
Hydroshoppe dan MKLSB memfailkan saman itu atas dakwaan penamatan perjanjian mereka secara salah pada November 2022 termasuk lanjutan konsesi syarikat terbabit daripada 15 tahun kepada 30 tahun.
“Pihak defendan pertama dan kedua (Fahmi dan Kerajaan) telah mengemukakan lima alasan dan walaupun saya mungkin bersetuju dengan sebahagian daripadanya, mahkamah ini berpandangan bahawa kes terhadap defendan pertama dan kedua tidak boleh dibatalkan pada peringkat ini.
“Ini kerana terdapat isu-isu yang memerlukan perbicaraan terutamanya berkaitan perjanjian yang dicadangkan pada tahun 2022. Mahkamah ini tidak boleh membenarkan pembatalan tuntutan terhadap defendan pertama (Fahmi) dan kedua (Kerajaan) kerana ini bukanlah satu kes yang jelas dan nyata yang mana tuntutan tersebut tidak boleh dipertahankan.
“Oleh itu, saya menolak permohonan pembatalan tuntutan (saman) oleh defendan pertama dan kedua, namun saya memerintahkan agar kos menjadi sebahagian daripada kausa,” kata hakim itu.
Mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes saman itu pada 3 November ini.
Sementara itu pada prosiding sama, Hakim Roz Mawar membenarkan permohonan tiga syarikat yang turut dinamakan sebagai defendan untuk membatalkan saman tersebut.
Menurut Hakim Roz Mawar, pliding yang dikemukakan terhadap kesemua syarikat itu adalah lemah, terlalu umum dan tidak mencukupi bagi tuntutan yang memerlukan pembuktian elemen yang spesifik.
“Plaintif gagal menyatakan fakta khusus yang menyokong dakwaan mengenai pengetahuan defendan, cara gangguan sama ada secara langsung atau tidak langsung, niat khusus untuk mengganggu, atau apa-apa kerugian khas yang dialami.
“Plaintif hanya membuat dakwaan kosong mengenai ketidakjujuran tanpa menyatakan fakta sokongan yang khusus. Butiran yang diberikan hanyalah pengulangan dakwaan umum dari tuntutan inducement of breach of contract (penghasutan kepada pelanggaran kontrak).
“Plaintif gagal menyatakan dengan terperinci bagaimana defendan ketiga hingga kelima telah melanggar apa-apa kewajipan berkaitan amanah tersebut. Dakwaan serius seperti ketidakjujuran memerlukan pernyataan yang serius dengan fakta konkrit bukan sekadar kesimpulan,” kata Hakim Roz Mawar.
Selain tuntutan ganti rugi RM1 bilion, Hydroshoppe dan MKLSB turut memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Perjanjian 2022 sebagai masih sah dan mengikat kerajaan.
Syarikat-syarikat itu memohon supaya mahkamah memerintahkan bahawa mereka masih berhak mendapat konsesi menara selama 30 tahun mulai 31 Disember 2022 dan bahawa kerajaan telah melakukan pecah amanah apabila memberikan kontrak kepada entiti lain.
Selain itu, Hydroshoppe dan MKLSB mahu mahkamah turut mengisytiharkan bahawa Perkhidmatan LSH dan syarikat induknya telah melakukan tort mendorong (inducement) dan memperolehi pelanggaran perjanjian 2022.
Mereka memohon pampasan daripada semua defendan untuk ganti rugi, termasuk kehilangan peluang perniagaan “untuk menikmati kontrak dan faedah komersial” daripada perjanjian konsesi.
MKLSB sebelum ini dimiliki sepenuhnya oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) telah mereka bentuk serta membina Menara KL yang dibuka kepada orang ramai pada 1996 dan menjadi pengendali tunggal Menara KL sejak di bawah perjanjian konsesi daripada kerajaan, yang diperbaharui setiap 15 tahun.
Pada 2022, dilaporkan TM telah memindahkan 10 juta sahamnya dalam MKLSB kepada Hydroshoppe.-UTUSAN










