Enam undang-undang maritim dikaji semula

Enam undang-undang maritim dikaji semula

ANTHONY Loke Siew Fook melawat reruai pada Majlis Perasmian Minggu Maritim Malaysia 2025 di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya, Selangor. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Terdapat enam undang-undang maritim negara yang tidak lagi relevan dengan keperluan semasa serta perkembangan industri.

Undang-undang yang sedang diteliti itu ialah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, Sarawak MSO, Sabah MSO, Akta Pihak Berkuasa Pelabuhan 1963, Akta Penswastaan Pelabuhan 1990 dan Akta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang 1955.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, semakan semula bertujuan memastikan industri maritim negara lebih kompetitif dan dinamik selaras dengan status Malaysia sebagai negara perdagangan utama.

“Apa yang sedang kita laksanakan sekarang adalah kajian semula undang-undang maritim negara khususnya undang-undang berkaitan perkapalan seperti MSO 1952.

“Sebahagian besar undang-undang ini sudah lama tidak dipinda. Banyak perkara mungkin sudah tidak relevan atau tidak selari dengan perkembangan semasa,” katanya selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia 2025 di Sunway Resort Hotel di sini, hari ini.

Anthony berkata, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi meneliti dan merangka cadangan pindaan yang dijangka dibawa ke Parlimen dalam tempoh setahun.

“Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan yang juga merupakan pakar dalam undang-undang maritim.

“Pada masa sama, usaha penyelarasan undang-undang maritim ini turut melibatkan kerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak tanpa menjejaskan hak dan kuasa negeri masing-masing,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN