Enam beranak termasuk bayi enam bulan dilaporkan hilang - Utusan Malaysia

Enam beranak termasuk bayi enam bulan dilaporkan hilang

ENAM beranak yang dilaporkan hilang sejak semalam selepas pulang dari bermalam di Taman Aman, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang wanita tidak menyangka pertemuan bersama abangnya sekeluarga pada malam Jumaat lalu menjadi detik terakhir mereka dilihat sebelum menghilang tanpa jejak keesokan harinya.

Kehilangan pasangan suami isteri dan empat anak mereka itu membingungkan keluarganya yang berusaha menjejaki mereka sejak semalam setelah tidak pulang ke rumah di Jerlun.

Nur Adliah Shuhada Ishak berkata, abangnya, Mohd. Azim Ezzat, 32, bermalam di rumahnya di Taman Aman di sini bersama isteri, Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy, 31, dan empat anak mereka yang berusia sembilan tahun hingga enam bulan.

“Mereka selalu datang bermalam di sini. Biasanya pagi-pagi mereka akan terus pulang ke Jerlun sebelum abang masuk kerja. Namun pagi itu, sekitar 5.30 pagi saya mendapati abang dan keluarganya sudah meninggalkan rumah kami.

“Awalnya, saya menganggap mereka pulang seperti biasa tetapi apabila mak mentua abang menelefon bertanya kenapa mereka belum pulang lagi ke rumah, saya jadi cemas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bercerita lanjut, katanya, anak sulung pasangan itu yang berusia 12 tahun tidak ikut serta dalam kunjungan kali ini kerana tinggal bersama neneknya.

“Saya cuba menelefon abang dan kakak ipar berkali-kali tetapi tidak ada jawapan. Pagi tadi ada orang telefon kata nampak kereta dalam Sungai Korok. Kami terus pergi. Tapi nombor platnya tak sama. Kami lega, tapi tetap risau,” katanya.

Katanya, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Jitra dan pencarian diteruskan di sepanjang laluan yang sering dilalui keluarga itu terutama berhampiran Sungai Korok.

Ujarnya, keluarga itu kali terakhir dilihat menaiki kereta Proton Saga berwarna kelabu dan sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Nur Adliah di talian 011-6440 8196 atau 011-6081 6922.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN