SEREMBAN: Empat rakan termasuk seorang pesalah muda dijatuhi hukuman penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri mesin penapis air di dua buah masjid.
Majistret Saiful Sayoti dan Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd. Akiq Faiqal Idris, 29; Muhammad Danial Darishan Muhamad Ruduan, 19; Muhammad Syaiful Muhamad, 29, dan Muhammad Zulfikri Sulaiman, 29, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di dua kamar mahkamah berasingan.
Mengikut pertuduhan pertama, kesemua tertuduh secara bersama-sama telah mencuri sebuah mesin penapis air di dalam Masjid As-Siddiqin Batang Benar, Mantin kira-kira pukul 8.11 malam, 30 Jun lalu.
Mahkamah memutuskan Mohd. Akiq, Muhamad Syaiful dan Muhammad Zulfikri dipenjara selama tiga bulan bermula dari tarikh sabitan hari ini.
Manakala Muhammad Danial Darishan dibenarkan jaminan sebanyak RM1,500 sementara menunggu laporan sosial pada tarikh sebutan 5 Ogos depan kerana tertuduh merupakan pesalah muda.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Akiq Faiqal, Muhammad Danial Darishan dan Muhammad Zulfikri diperintahkan menjalani hukuman penjara selama tiga bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri sebuah mesin penapis air di Masjid Kariah Lenggeng, Nilai, kira- kira pukul 2.30 petang 1 Julai lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi dan Muhammad Zul Azrin Zanuddin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ng Yunn Yiing memohon hukuman paling minimum dengan mengambil kira pengakuan salah tertuduh dan latar belakang mereka.
Yunn Yiing berkata, dua daripada tertuduh merupakan penganggur manakala masing-masing seorang pekerja kedai serbaneka dan penghantar barang.
“Mereka telah insaf dan barang kes telah diperoleh dengan anggaran kerugian adalah rendah,” katanya.-UTUSAN










