KUALA TERENGGANU: Empat majikan dikenakan denda sebanyak RM5,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini, hari ini selepas didapati bersalah menggaji pekerja warga asing tanpa dokumen sah.
Tertuduh iaitu Loo Tze Lun, 36; Lim Shiao Kai, 48; Soo Suwt Keng, 58; dan Tee Chan Lai, 55, turut berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Kesemua tertuduh mengaku bersalah dan menjelaskan denda yang dikenakan.
Hakim Nazlyza Mohamad Nazri menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan mereka.
Mengikut pertuduhan, Tze Lun didakwa membenarkan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki dan tinggal di premis miliknya di hadapan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dungun pada 7 April lalu kira-kira pukul 6.10 petang.
Shiao Kai pula melakukan kesalahan sama di sebuah premis di Jalan Bandar, Kuala Terengganu pada 6 April pukul 10.50 pagi manakala Suwt Keng turut membenarkan seorang PATI masuk dan tinggal di premis miliknya di lokasi yang sama, kira-kira pukul 11.05 pagi pada hari yang sama.
Bagi Chan Lai, kesalahan dilakukan pada 22 Jun lalu kira-kira pukul 10.20 pagi di sebuah tapak pembinaan di Wakaf Tapai, Marang. Siasatan mendapati kesemua tertuduh yang mempunyai kawalan ke atas premis berkenaan telah membenarkan kehadiran PATI untuk tinggal atau berada di lokasi terbabit.
Perbuatan tertuduh itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) akta yang sama. – UTUSAN










