E-Hati: Kertas inkuiri dibuka kenal pasti kesalahan jenayah

E-Hati: Kertas inkuiri dibuka kenal pasti kesalahan jenayah

Kongsi gelap
HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis membuka kertas inkuiri bagi mengenal pasti kesalahan jenayah  berkaitan program motivasi rumah tangga, E-Hati yang didakwa songsang dan terpesong.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya akan memanggil beberapa saksi bagi mendapatkan pengesahan termasuk melibatkan penggunaan air yang didakwa boleh mengkhayalkan.

“Maklumat yang diperoleh setakat ini daripada pihak ketiga dan kami akan memanggil individu terlibat bagi membuktikan sama ada wujud kesalahan jenayah.

“Kami buka kertas siasatan bagi mendapatkan keterangan terus dan mengesahkan sama ada benar wujud penggunaan air tertentu atau kesalahan lain di bawah Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi petang ini.

Tambah beliau, kenyataan saksi diperlukan bagi membantu siasatan lanjut termasuk dakwaan mengenai air tersebut.

“Kerjasama antara polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga berjalan lancar mengikut bidang kuasa masing-masing,” ujarnya.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan kerajaan negeri tidak mempunyai kaitan dengan program itu yang dianjurkan secara persendirian.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee memaklumkan akan menjalankan siasatan secara terperinci bersama JAIS bagi memastikan kesahihan maklumat berhubung program motivasi itu.

JAIS akan memanggil beberapa individu pada Selasa ini bagi membantu siasatan berhubung program itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, pada 27 hingga 30 September tahun lalu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (doktrin palsu) iaitu melibatkan kesalahan berlaku suatu upacara atau perbuatan berhubung dengan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN