Dua treler bawa 80,000kg beras disyaki seludup dirampas - Utusan Malaysia

Dua treler bawa 80,000kg beras disyaki seludup dirampas

LORI membawa beras putih import yang disyaki diseludup dari Thailand dirampas dalam operasi di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Hentian Sungai Lebey dekat Gerik, semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Sebanyak 1,600 guni beras putih import seberat 80,000 kilogram yang disyaki diseludup dari Thailand dirampas dalam operasi di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Hentian Sungai Lebey dekat Gerik, semalam.

Rampasan membabitkan beras dianggarkan bernilai lebih RM308,000 itu dilakukan menerusi Op Pintas pada pukul 4 petang.

Pengarah Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Perak, Nurul Zhahirah Nahrawi berkata, rampasan itu dijalankan selepas pihaknya menahan dua buah treler dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pemeriksaan ke atas pemandu treler berkenaan mendapati kedua-dua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen termasuk invois dan permit pemindahan padi atau beras antara negeri.

“Selain itu, kita turut mengesyaki nombor kontrak Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang digunakan pada pembungkusan beras itu adalah palsu.

“Berdasarkan siasatan awal, kenderaan itu dipercayai dalam perjalanan dari negeri di pantai timur untuk mengedar beras kepada pemborong di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, lima lelaki membabitkan pemandu lori dan kelendan berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya, kesemua beras dan dua buah treler dengan rampasan keseluruhan RM568,000 dibawa ke stor simpanan kawalselia padi dan beras di Teluk Intan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 (Akta 522),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN