KUALA TERENGGANU: Dua pelancong warga Turkiye dikhuatiri hilang selepas kapal layar yang dinaiki mereka karam akibat dipukul ribut di perairan Pulau Yu, kira-kira 30 batu nautika dari sini, Selasa lalu.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, kapal layar bernama Daisy itu dalam perjalanan dari Pulau Tioman menuju Pattani, Thailand sebelum dilaporkan terbalik di tengah laut akibat cuaca buruk.
“Kejadian itu melibatkan tiga individu iaitu seorang kapten dan dua pelancong lelaki warga Turkiye yang terjatuh ke laut selepas kapal karam. Bagaimanapun, seorang daripada mangsa dikenali sebagai Ates Demiroren berjaya diselamatkan kru sebuah kapal tunda tempatan selepas hanyut kira-kira 25 jam di laut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa yang terselamat telah dibawa ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut manakala dua lagi individu termasuk kapten kapal belum ditemukan.
Susulan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) pada pukul 3 petang ini.
“Sebuah bot peronda Maritim, Perkasa 48 telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pencarian. Orang ramai yang mempunyai maklumat atau penemuan berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 013-7464357 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – UTUSAN










