BATU PAHAT: Dua lelaki maut manakala 16 yang lain cedera apabila bas persiaran yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan trak tunda dan lori tangki di Kilometer 80.7 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, tengah malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Pegawai Bomba Kanan II Md Isa Masngun berkata, dua mangsa yang maut adalah warga Indonesia yang dikenali sebagai Hidirman, 43, dan Zulhadi, 44.
Katanya, dalam kejadian pukul 12. 44 tengah malam itu, bas berkenaan membawa 46 penumpang terdiri daripada 44 lelaki dan dua wanita.
“Dua penumpang lelaki bas tersepit dan disahkan maut di tempat kejadian. 14 penumpang lelaki, seorang penumpang wanita serta pemandu bas mengalami kecederaan dan selebihnya, iaitu 27 penumpang lelaki dan seorang wanita tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Md. Isa berkata, pemandu lori tunda berusia 42 tahun dan pemandu lori tangki berusia 33 tahun tidak mengalami kecederaan.
Pihaknya yang dibantu anggota dari BBP Yong Peng menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans.
Difahamkan, bas berkenaan dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Johor Bahru. – UTUSAN