GEORGE TOWN : Dua lelaki termasuk seorang warga emas dijumpai meninggal dunia dalam keadaan terkunci di dua lokasi berasingan, semalam.
Kejadian pertama melibatkan seorang lelaki berusia 34 tahun yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta jenis Mazda CX5 dengan enjin yang masih hidup di Taman Ara Mutiara, Tasek Gelugor.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.50 malam sebelum menggerakkan sepasukan anggota penyelamat ke lokasi kejadian.
“Ketika kejadian, pintu kereta berkunci dan pihak bomba dengan dibantu oleh anggota polis kemudian terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa daripada kereta tersebut.
“Mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan KKM (Kementerian Kesihatan) yang berada di tempat kejadian,” kata beliau.
Tambahnya, operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya kira-kira pukul 9.35 malam dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, dalam kes berasingan, John berkata, seorang lelaki warga emas lelaki pula ditemukan meninggal dunia di dalam rumahnya di Sungai Pinang, Jelutong, awal pagi tadi.
Menurut beliau, ketika kejadian, pintu rumah mangsa berada dalam keadaan terkunci, namun, berjaya dibuka oleh pasukan bomba dengan bantuan pihak polis.
“Operasi itu pula tamat sepenuhnya kira-kira pukul 1.15 pagi tadi dan kes selanjutnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Difahamkan, punca kematian bagi kedua-dua kes itu bagaimanapun masih dalam siasatan buat masa ini. – UTUSAN










