PUTRAJAYA: Akibat sedikit kepenatan selepas mengayuh basikal, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terpaksa meninggalkan lebih awal Program Picnic & Potluck di Tasik Putrajaya, di sini pagi tadi.
Difahamkan, bekas Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu kini berehat di Institut Jantung Negara (IJN) akibat keletihan.
Terdahulu, Dr Mahathir tetap melayani orang awam yang hadir program itu yang menunggunya sejak pagi.
Program yang berlangsung bersebelahan Yayasan Kepimpinan Perdana itu dianjurkan bagi meraikan sambutan kelahiran ke-100 Dr Mahathir pada 10 Julai lalu serta ulang tahun kelahiran ke-99 isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada 12 Julai.
Terdahulu, Dr Mahathir tiba pukul 7.45 pagi dengan memandu sendiri kenderaan sebelum mengayuh basikal secara ‘tandem’ di sekitar tasik diiringi pegawai keselamatan khas.
Bagaimanapun, selepas menamatkan kayuhan sejauh kira-kira lapan hingga sembilan kilometer, beliau dilihat keletihan dan duduk berehat di kerusi seketika sebelum menuju ke meja sarapan yang disediakan.
Antara yang menunggu kehadiran beliau ialah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta anak beliau, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Lebih 500 orang hadir memeriahkan program itu dan mengambil kesempatan bersarapan bersama keluarga secara santai bersama di tepi tasik.
Selepas itu, Dr Mahathir kemudian dilihat meninggalkan program kira-kira pukul 10 pagi malah, sempat beramah mesra dan bergambar dengan orang ramai yang hadir.
Difahamkan, Dr Mahathir dan isteri beredar lebih awal untuk pulang dan berehat di rumah.
Dalam pada itu, Mokhzani berkata, bapanya tidak mengalami masalah kesihatan namun, sedikit keletihan selepas menghadiri satu program semalam serta kurang tidur.
Menurutnya, bapanya berkayuh agak jauh pagi ini, jadi beliau berasa sedikit letih.
“Selepas bersarapan dan menjamah sedikit kuih serta kopi beliau kembali segar,” katanya. – UTUSAN