RAUB: Seorang pengusaha pasir didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengekstrak pasir secara haram di tanah milik kerajaan di Sungai Ara, Mukim Gali, di daerah ini, dua tahun lalu.
Tertuduh, Chang Chee Onn, 67, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut, selain meluluskan permohonan lucuthak kesemua jentera yang disita kepada kerajaan negeri.
Menurut fakta kes, hasil risikan dan serbuan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) kira-kira pukul 2.45 petang, 9 Disember 2023 mendapati sebuah jengkaut melakukan aktiviti pengekstrakan pasir di kawasan terbabit, sebelum dipindahkan ke dalam dua buah lori tipper.
Siasatan mendapati aktiviti tersebut dijalankan di luar kawasan permit yang sah, malah lokasi tangkapan dikenal pasti sebagai tanah kerajaan berdasarkan semakan dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Raub.
Tertuduh pula dikenal pasti sebagai individu yang mengurus serta mengarahkan aktiviti pengambilan pasir berkenaan.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 426(1) Kanun Tanah Negara (Pindaan 2020) Akta 828, yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










