Dewan Rakyat penentu kedudukan kerajaan

Dewan Rakyat penentu kedudukan kerajaan, bukannya demonstrasi

PARLIMEN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang de­­monstrasi dan penunjuk pe­rasaan bagi menzahirkan perasaan tidak puas hati kepada kerajaan dilihat tidak lagi relevan dalam konteks politik era semasa.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, landskap politik masa kini telah berubah dengan ketara, seiring ledakan teknologi digital dan dominasi media sosial sebagai medium utama pengaruh politik.

“Jika 15 atau 20 tahun lalu, perhimpunan fizikal mungkin relevan. Namun, hari ini, dengan kekuatan media sosial dalam menggambarkan sentimen, persepsi dan pandangan masyarakat, platform digital lebih sesuai dan efektif.

“Kita tidak boleh terus terikat dengan pendekatan lama. Perkembangan ini mencerminkan perubahan dalam adaptasi pemikiran politik moden,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Menteri Da­lam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan membenarkan Himpunan Turun Anwar, dengan mematuhi tiga peraturan.

Himpunan Turun Anwar anjuran Perikanan Nasional (PN) dijadual berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 26 Julai ini dengan sasaran kehadiran lebih 300,000 orang dari seluruh negara.

Mohammad Tawfik berkata, masyarakat kini lebih cenderung mengikuti diskusi awam secara terbuka melalui media sosial atau platform digital, tanpa perlu terlibat dalam pergerakan fizikal yang besar.

“Penerimaan masyarakat ha­ri ini telah berubah. Mereka lebih selesa dan terbuka kepada perbincangan secara maya yang tidak bersifat konfrontasi. Tidak bermaksud kita menolak demokrasi. 

“Apatah lagi, kedudukan kerajaan ditentukan melalui proses sah di Dewan Rakyat, bukan di jalan raya, katanya. 

Pensyarah Kanan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata, Dewan Rakyat sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya sebagai wadah menyampaikan pandangan dan suara rakyat terhadap dasar kerajaan. 

“Sekiranya benar ada pihak yang tidak berpuas hati terhadap kepemimpinan negara, langkah terbaik adalah membawa usul undi tidak percaya di Parlimen.

“Dewan Rakyat adalah platform sah yang perlu digunakan untuk membawa suara dan maklum balas rakyat. Jika ada ketidakpuasan hati, usul undi tidak percaya boleh dibawa,” katanya.

Katanya, walaupun gerakan protes berjaya mengumpulkan kehadiran besar, ia tidak semestinya mampu menurunkan Perdana Menteri kerana kedudukannya masih sah di sisi Perlembagaan.

“Apakah jika jumlah peserta ramai, Perdana Menteri akan turun? Tidak. Beliau dilantik di bawah Perkara 42 dan 43 Perlembagaan Persekutuan dan masih memiliki sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

“Jika mahu menurunkan beliau, gunakan semula proses demokrasi seperti mana beliau dilantik dahulu,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN