Teknologi augmented reality (AR) merupakan satu bentuk integrasi antara dunia sebenar dan elemen digital yang dipancarkan secara langsung melalui lensa kamera terutama telefon pintar.
Tidak seperti realiti maya (VR), AR memperkaya dunia nyata dengan informasi dan visual tambahan yang hanya dapat dilihat melalui medium peranti digital.
Dalam konteks seni visual, AR membuka ruang baharu bagi interaksi khalayak dengan karya, melebarkan fungsi visual ke arah pengalaman sensori yang lebih dinamik dan responsif.
Pameran AR Menghidupkan Cetakan – Karya Juhari Said yang berlangsung di Galeri Al-Biruni, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak baru-baru ini menampilkan satu penemuan signifikan dalam dunia seni cetak kontemporari.
Dalam pameran ini, karya-karya cetakan Johari Said yang asalnya berasaskan teknik cetakan blok telah diperkaya dengan kesan visual AR yang mana hanya dapat dinikmati apabila kamera telefon pintar dihalakan padanya.
Karyanya bukan sekadar dirasai pada permukaan kanvas namun, dibangkitkan semula melalui lensa kamera.
Di antara tekstur dakwat dan goresan tangan, muncul dunia kedua yang hanya boleh dilihat apabila teknologi ‘menyambut’ mata lensa.

Di sinilah, fotografi dan teknologi AR menjadi alat pembuka dimensi bagi memindahkan seni cetak daripada ‘mati’ kepada ‘hidup’.
Proses pembinaan AR dalam pameran ini dibangunkan melalui aplikasi pemetaan imej yang diprogramkan menggunakan platform perisian Adobe Dreamweaver dan Artivive.
Inisiatif itu dilakukan oleh pelajar tahun akhir Program Diploma Seni Halus, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR).
Setiap imej cetakan bertindak sebagai penanda visual yang akan mengaktifkan lapisan animasi, elemen 3D atau naratif audio-visual apabila diimbas dengan kamera.
Secara teknikal, ia menggabungkan tiga disiplin utama seni cetak, fotografi (melalui sudut tangkapan lensa) dan pembangunan media digital.
Maka, lahirlah pengalaman imersif yang tidak dapat diperoleh melalui pemerhatian visual biasa.
___________________________________________________________________
Pensyarah kanan Jabatan Fotografi dan Pengimejan Kreatif, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM, Perak










