KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi Rentas Sempadan 2025 yang bertujuan mewujudkan kerangka perundangan moden bagi menguruskan prosiding insolvensi melibatkan entiti beroperasi merentasi sempadan negara.
RUU yang selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa itu diluluskan selepas dibahas oleh 11 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Ia dilihat sebagai langkah penting dalam menarik pelaburan asing serta memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, konsep insolvensi rentas sempadan merujuk kepada prosiding melibatkan syarikat korporat yang berdepan krisis kewangan dan tidak mampu melunaskan hutang di mana pemiutang dan aset syarikat berada di lebih daripada satu negara.
“Aset syarikat serta bilangan pemiutang yang berada di pelbagai negara boleh menyebabkan prosiding insolvensi terhadap syarikat sama dimulakan dalam beberapa bidang kuasa asing serentak,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Azalina berkata, undang-undang baharu itu akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang diyakini tanpa menjejaskan kedaulatan negara.
“Semua keputusan berkaitan kekal di bawah kuasa Mahkamah Tinggi Malaysia. RUU ini bersifat prosedural dan mematuhi prinsip UNCITRAL Model Law yang merangkumi aspek akses, bantuan, pengiktirafan dan kerjasama,” ujarnya.
Bagi memastikan kesiapsiagaan pelaksanaan, kerajaan akan meminda Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, menyediakan latihan khas kepada hakim dan peguam, menubuhkan unit khas di Jabatan Insolvensi Malaysia serta membangunkan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan yang melibatkan semua pihak berkepentingan.
Mengulas kebimbangan berhubung kemungkinan campur tangan asing, Azalina berkata, sebarang bentuk kerjasama antarabangsa tetap tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang negara.
“Pemiutang asing tidak diberi keutamaan berbanding pemiutang tempatan. Malah, mahkamah mempunyai kuasa penuh untuk menolak pengiktirafan prosiding asing sekiranya ia bercanggah dengan kepentingan awam atau keselamatan negara,” katanya.
Kata Azalina, syarikat milik kerajaan (GLC) yang beroperasi secara komersial tidak dikecualikan daripada akta ini, bagi memastikan prinsip tadbir urus yang adil dan telus terus dipelihara.
Namun, katanya, perlindungan terhadap kepentingan strategik negara tetap menjadi keutamaan melalui peruntukan yang membolehkan mahkamah menolak sebarang pengiktirafan atas dasar kepentingan awam. – UTUSAN









